Monday, January 26, 2009


Saman untuk Kita

Oleh Mohamad Ismadi Sallehudin,31 Disember 2008. Kolej Shahputra.

Sewaktu melangkah masuk ke studio galeri Rajawali (sebuah komuniti artis di Kuantan ),saya terus terlihat sebuah karya yang begitu kuat gaya representasinya yang agak berlainan dari kalangan karya di galeri tersebut. Jelas apa yang di paparkan seolah menyatakan akan lonjakan daya pemikiran,kekuatan berimajinasi serta realiti intuiti yang ingin disampaikan oleh si pelukis.

Lantas pemikiran saya terus bermain pelbagai lontaran tandatanya yang menjurus kepada subjek yang dipaparkan,iaitu, pokok dan buaian. Agak lama juga saya menatap karya tersebut,apakah sebenarnya yang ingin disampaikan oleh si pelukis.Begitu kuat hipotesis yang bermain difikiran bagi menjawab kepada repsentasi subjektif yang dipaparkan dalam karya tersebut.

Namun,didalam perasaan ada satu rasa yang timbul bagi menyatakan karya ini begitu kuat menampilkan jalan penceritaannya walaupun belum diketahui lagi akan tajuk karya tersebut.

Setelah diberitahu oleh pelukisnya,Abdullahjones,akan karya tersebut,"dimana shalini/empty swing", saya terus terpaku bagi mengimbau peristiwa tersebut seterusnya merujuk kepada beberapa lukisan terdahulu dalam menyatakan struktur naratif yang sama.

Teringat saya akan karya yang dilukis oleh Ahmas Fuad osman dari koleksi Balai Seni Lukis negara, Lost Series X: The Waiting,1995,menyatakan kesinambungan dengan karya Abdullahjones ini dari rupa tajuk yang agak sama tetapi dalam persembahan yang nyata berlainan dimana Abdullahjones menampilkan kehilangan dalam berpandukan 'perlambangan' manakala Fuad pula menyatakan kehilangan dengan imej lakaran yang bersahaja terhadap figura.

Karya pelukis agung, Pablo Picasso,harlequen And His Companion,1901 pula menyatakan kehilangan oleh mood suasana mahupun ruang yang diterampilkan oleh gayaan watak wanita termenung sebagaimana perlakuan buntu oleh sesuatu kehilangan.

Merujuk kepada ketiga-tiga karya diatas,setiap pelukis mempunyai kesimpulan tertentu bagi menyatakan 'kehilangan' dalam kekuatan gaya yang tersendiri. Apa yang ingin dijelaskan disini adalah kematangan,intelektualiti serta kreativiti bagi menyampaikan kesan kehilangan tersebut kepada masyarakat. Konten yang cuba dipaparkan ini juga memperlihatkan keperihatinan sosial oleh individi pelukis dan sumbangannya sebagai anggota masyarakat.

"dimana shalini/empty swing" bukan merupakan isu personal lagi, walaupun sudah hampir setahun peristiwa itu berlalu,namun kesannya turut dirasai hingga kini oleh semua rakyat Malaysia.Karya ini juga seolah satu provokasi terhadap para pemerhati akan kealpaan masyarakat atau pihak tertentu terhadapo tindakan dan pengajaran seterusnya dari peristiwa tersebut.

Penyataan terhadap subjek yang ditrampilkan juga menyatakan akan kekuatan refleksi,justifikasi oleh pelukis terhadap peristiwa tersebut. Dalam karya ini kita seolah-olah melihat sebuah kesempurnaan terhadap karya tanpa menjalani satu proses yang begitu kompleks. Persoalan antara idea dan kreativiti pengolahannya jelas dapat dilihat dan disulam dengan baik. Selain itu, kesedaran untuk mencungkil ilham berpandukan dari pembacaan dapat diungkapkan dengan baik dalam bentuk visual. Karya yang ditrampilkan ini juga menyahut penyataan yang dinyatakan oleh pengarca,Prof. Madya Zulkifli Yusuf sebagai salah seorang juri dalam rencananya " Satu Pengamatan Karya Dalam Kategori 3D,Pertandingan Bakat Muda Sezaman 2004",iaitu,"adakah tema itu sebagai ujian yang tepat untuk melihat kecerdikan berfikir di kalangan karyawan muda?"

Seimbas lalu,karya Abdullahjones ini menyatakan sebuah taman permainan (ynag mungkin tempat shalini bermain) yang kini sepi dari hiruk-pikik kanak-kanak bermain.Kekuatan formalistik juga menampilkan kejayaan pelukis dalam mengaplikasikan 'tatabahasa seni' dengan baik bagi menghasilkan ikoni naratif terhadap peristiwa syahdu tersebut yang diwartakan dalam lukisan ini. Nyata apa yang ditonjolkan ini menjelaskan kemampuan pelukis berfikir bagi menyelesaikan masalah lazim,iaitu kombinasi ruang dalam karya. karya ini juga bukan menyangkal apa yang cuba dinyatakan olah Allahyarham Redza Piyadasa dalam karya beliau,Permandangan malaysia Terbesar,1972 yang cuba mendidik pelukis muda melalui 'manual'yang dihasilkan,malah karya ini juga membuktikan perubahan anjakan masa terhadap pemikiran pelukis muda hari ini yang begitu berani bagi mengupas serta mengadaptasikan isu negara sebagai subjek utama dalam karya mereka.

Karya ini juga sedikit sebanyak membuktikan hasrat Saudara Juhari Said telah tercapai terhadap para pelukis muda yang pernah diluahkan oleh beliau pada satu ketika dahulu iaitu,

"Bukan yang muda itu kurang berguna,cuma ia perlu dibaja,di siram dan dipelihara.Barulah ia membesar,matang dan banyak sumbangannya. Sumbangan yang menentukan jasa. Jasa itulah yang hidup selama-lamanya".

Syabas Abdullahjones!