Wednesday, August 4, 2010

write-up/out of the blue/abu yusof/solo


karya ini bukan disini..

Teringat saya buat pertama kali mengunjungi Rajawali beberapa tahun yang lalu.saya tersentak dan sempat saya berbicara dengan seorang lagi rakan melihat akan beberapa karya yang dihasilkan oleh Abu Yusuf.

Terpaku kami seketika bagi cuba memahami dan merasai akan hasilan catan beliau. Bermain difikiran saya.agak berani juga si pelukis ini menghasilkan karya yang hanya menggunakan garisan dengan pelbagai warna. Melangkah keluar dari Rajawali, saya masih membicarakan perihal karya itu.
Kini sudah 2010, karya yang dihasilkannya kini sudah jauh lebih baik dari karya beliau sejak beberapa tahun yang lalu.

Saya berani menyatakan, Abu Yusuf sudah hidup dialam seninya yang tersendiri! bukan hanya bakat, minat dan kegigihan, bahkan beliau telah cuba membawa diri sendiri kesatu tahap penghasilan ‘karya impak tinggi’. Tahap yang dinyatakan ini memperlihatkan sikap ‘ovious’ yang sama dialami oleh pelukis terkenal lain dan maafkan saya kalau saya katakan sebahagiannya agak melampau dalam perlakuan harian mereka. Tuntutan terhadap perlakuan ini, maka karya yang dihasilkan akan memperlihatkan impak “unidentified form” yang tersendiri.

Berminat dengan teknik dan gaya garisan yang dihasilkan dalam kebanyakan catan pelukis terkemuka Negara Datuk Ibrahim Hussein. Gaya tokoh ini seterusnya menjadi rujukan dalam penghasilan karya Abu Yusuf. Melihat kepada paparan karya yang dihasilkan oleh Abu Yusof dalam siri ini seolah kita cuba menerokai alam fikirannya yang sebenar seperti ada intuisi yang cuba disampaikan olehnya buat tatapan pemerhati. Penghasilan karya yang hanya menggunakan garisan bagi menghasilkan rupa sahaja adalah sesuatu yang mencabar buat seseorang pelukis, sudah tentu ramai yang akan bertanya nanti, Kenapa?.

kerana ia memerlukan olahan kreativiti individu pelukis. Gawang yang saya nyatakan ini merupakan satu mimpi ngeri bagi setiap individu pelukis ditambah lagi dengan tekanan penerimaan masyarakat Kuantan yang masih lagi berkiblatkan lukisan cetakan - siapa yang berani membeli karya Abu ini??...Namun apa yang diperlihatkan oleh beliau pada hari ini jelas memaparkan karyanya di tahap tinggi..sudah tentu soalannya… Bagaimana dan mungkin soalan yang lebih bodoh lagi… apa dia? Kerana karya sedemikian menuntut kekuatan dan pemahaman diri pelukis sendiri untuk menghasilkan rupa dalam paparan tiga dimensi dengan hanya menggunakan garisan. Keadaan yang sama merujuk kepada karya yang dihasilkan oleh beberapa pelukis terkemuka dunia seperti Brice Marden, dalam karyanya Cold Mountain3,1989-91 dan garisan rupa kuda yang dihasilkan oleh Susan Rothenberg dengan karyanya Untitled 1975.

Apa yang cuba saya jelaskan disini adalah…bukan untuk cantik tetapi menggunakan intelektual dalam menghasilkan karya!... Kematangan pelukis dalam memilih warna ‘complimentary’ juga jelas menyatakan akan ‘celik warna’ diri beliau sebagai seorang pelukis. Kebijaksanaan yang dipaparkan dalam karya Abu Yusof juga digayakan dengan subjek biasa dilihat seperti cerek, sudu, sayur dan pelbagai objek harian yang lain seolah cuba membawa pemerhati untuk bersama ‘menguji’ kreativiti diri bagi memikirkan seketika tentang apa yang cuba disampaikan olehnya.

Jelas apa yang dihasilkan oleh Abu Yusuf dalam kebanyakan karya beliau pada kali ini memperlihatkan olahan terhadap ‘tatabahasa seni’ beliau yang cukup cantik, teratur dan menarik atau dalam bahasa lainnya, dia tidak melanggari disiplin seni yang telah ditetapkan oleh fitrah warna itu sendiri. Agak unik!...cuba kalian merujuk karya hasilan Claude Monet, Rouen Cathedral:Morning, 1894.
Saya percaya akan apa yang dihasilkan oleh Abu Yusof ini bukan hanya contengan bersahaja atas kanvas semata bahkan telah tercarik sejarah baru dalam dimensi seni Negara yang cukup menarik!. TABIK Abu…..

Ismadi Sallehuddin,
Curator.